»
S
I
D
E
B
A
R
«
BROTHERHOOD of ISLAM
January 7th, 2010 by admin

Pemuda PAS panggil semua rakyat bantah Mesir

Ditulis oleh Harakahdaily
THURSDAY, 07 JANUARY 2010 01:53
KUALA LUMPUR, 7 Jan – Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) sekali lagi menggesa seluruh warga Malaysia termasuk bukan Islam untuk bersama menyertai himpunan aman di kedutaan Mesir bagi menyerahkan memorandum membantah tindakan kerajaan negara itu yang bersekongkol dengan Israel menindas umat Islam Palestin.Ketuanya, Nasaruddin Hassan dalam kenyataannya kepada Harakahdaily dipetik berkata, beliau menyeru seluruh rakyat prihatin supaya dapat keluar beramai-ramai Jumaat, 8 haribulan (Januari) untuk bersama-sama berhimpun secara aman dan menyerahkan memorandum kepada kedutaan Mesir di Kuala Lumpur.

Nasaruddin juga berkata, beberapa tindakan terbaru kerajaan Mesir dilihat keterlaluan dan memberi kelebihan kepada Israel untuk terus mencengkam kekuasaannya ke atas umat Islam di Gaza.

Ianya termasuklah insiden terbaru di mana Kerajaan Mesir telah menghalang anggota konvoi Viva Palestina di Pelabuhan El-Arish, yang mahu menghantar bantuan kemanusiaan seperti makanan, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan bernilai lebih AS$1 juta kepada rakyat di sana.

Selain itu, dua hari lalu pasport mereka juga dirampas Kerajaan Mesir sehingga memaksa mereka hanya duduk beramai-ramai di pelabuhan sehingga pasport dipulangkan semalam.

Lebih teruk lagi apabila lebih 10 anggota konvoi Viva Palestina cedera, empat daripadanya parah akibat tindakan ganas polis Mesir menyuraikan tunjuk perasaan membantah keputusan Kerajaan Mesir melarang 59 kenderaan konvoi dibawa keluar dari pelabuhan Al-Arish untuk dibawa ke Gaza.

Salah seorang yang ditahan termasuk seorang warga Malaysia, Ibrahim Mohd Azmi, pelajar perubatan Universiti Bristol United Kingdom yang menyertai konvoi itu sebagai sukarelawan konvoi dari London 6 Disember lepas.

“Sememangnya sejak dulu kita prihatin terhadap isu kezaliman Israel terhadap umat Islam Palestin, di atas semangat solidariti ummah, kita hendaklah bangkit sekali lagi,” katanya.

Umat Islam di seluruh dunia, katanya telah bangkit dan bantahan sama juga sedang dibuat.

Selain Pemuda PAS, beliau turut mengharapkan penyertaan Angkatan Muda Keadilan AMK dan DAP Socialist Youth (DAPSY) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak asasi manusia.

“Saya juga ingin menyampaikan salam dari Dr. Hammam Said, Murakibul Am Ikwan Al-Muslimin yang menyeru seluruh rakyat bangkit beramai- ramai menentang tindakan zalim kerajaan Mesir ini,” katanya lagi.

Terdahulu, anggota kontinjen Viva Palestina berhimpun dan mengadakan benteng manusia memprotes keputusan kerajaan Mesir menghalang 59 kenderaan termasuk dua trak keluar dari pelabuhan itu.

Dalam masa sama, pihak berkuasa Mesir menempatkan 189 anggota unit anti rusuhan lengkap dengan meriam air dan gas pemedih mata.

Menurut pengasas Viva Palestina, George Galloway rundingan di peringkat tertinggi sedang diadakan oleh pihak Turki dengan kerajaan Mesir termasuk menuntut agar kesemua anggota konvoi yang ditahan dibebaskan segera.

Misi mereka bermula dari London pada 6 Disember lepas, melalui pelbagai tempat di Turki, Syria, dan Jordan.

Menurut Nasaruddin, mereka sepatutnya tiba di Gaza pada 27 Disember, tetapi tertangguh akibat halangan kerajaan Mesir yang enggan membenarkan mereka menggunakan bandar Nuweiba sebagai pintu masuk ke Rafah sebelum tiba di Gaza.

Akibatnya, mereka terpaksa kembali ke Damsyik, Syria untuk mencari laluan lain untuk memasuki Rafah sebelum tiba di Gaza.

keratan dari : http://pas.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=2610:pemuda-pas-panggil-semua-rakyat-bantah-mesir&catid=1:terkini&Itemid=2

Himpunan Aman membantah kerjasama Israel-Mesir

Ditulis oleh Ustaz Idris Ahmad
WEDNESDAY, 06 JANUARY 2010 03:36
Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyeru kepada semua ahli, pertubuhan NGO dan golongan yang simpati kepada nasib rakyat Palestin untuk menyertai Himpunan Aman membantah tindakan Kerajaan Mesir yang berkerjasama dengan Zionis Israel untuk menindas umat Islam di Gaza.

Kerajaan Mesir dilaporkan enggan membenarkan sebuah kapal yang membawa konvoi antarabangsa melibatkan 17 buah negara dengan150 kenderaan membawa beratus-ratus tan bekalan kemanusiaan masuk ke Gaza melalui pelabuhan Nuweiba di Laut Merah. Kerajaan Mesir telah mendesak konvoi Viva Palestina berkenaan menyerahkan bantuan melalui pelabuhan Mediterranean, iaitu jarak lebih jauh yang memerlukan konvoi berkenaan berpusing ke semenanjung Sinai dan melalui Terusan Suez sebelum sampai ke El Arish kelmarin.

Kezaliman Mesir ini jelas membuktikan sokong mereka kepada tindakan Israel yang menutup pintu sempadan di Nahal Ozz di timur pusat bandar Gaza dan mengepung rakyat Palestin dengan hanya membenarkan satu laluan sahaja dibuka untuk memasuki Gaza iaitu melalui Kerem Shalom di tenggara Semenanjung Gaza.

Tidak cukup dengan itu Mesir juga didapati menutup mata dengan tindakan Israel yang meluluskan pembinaan empat bangunan apartmen baru untuk peneroka haram Yahudi di timur Baitulmaqdis yang berada dalam Wilayah rakyat Palestin.

PAS kesal, kerana sebagai sebuah negara Islam dan anggota OIC, Mesir tergamak bersubahat dalam menindas rakyat Palestin. Justeru itu PAS menyokong tindakan sayap Pemuda PAS yang akan mengadakan Himpunan Aman dan menyerahkan memorandum bantahan pada 8 Januari 2010 (Jumaat).

PAS mengesa kepada rakyat Malaysia yang prihatin untuk berkumpul di Bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak sebelum berarak ke Kedutaan Mesir selepas solat Jumaat bagi menyatakan bantahan.


Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

keratan dari : http://pas.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=2607:himpunan-aman-membantah-kerjasama-israel-mesir&catid=20:kenyataan-rasmi&Itemid=99

Leave a Reply

»  Substance: WordPress   »  Style: Ahren Ahimsa